Sejarah Microsoft XP
Kiriman oleh wantp pada 05 September 2008
Windows XP

Windows XP adalah salah satu daripada keluarga sistem pengendalian Windows keluaran Microsoft. Akronim XP adalah kependekan daripada perkataan eXPerience (pengalaman). Semasa pembangunannya, Windows XP dikenali dengan nama kod Whistler sempena nama tempat percutian kebanyakan kakitangan Microsoft semasa pembangunannya iaitu di Whistler, British Columbia, Kanada.

Dilancarkan pada 25 Oktober 2001, Windows XP adalah pewaris kepada Windows 2000 dan Windows Me, menjadikannya keluarga Windows berorientasikan pengguna terawal yang dibina berasaskan teknologi inti Windows NT. Setakat Januari 2006, lebih 400 juta salinan perisian Windows XP telah terjual di seluruh dunia. Windows XP kini telah digantikan dengan Windows Vista.

Windows XP sangat dikenali kerana reputasinya sebagai salah satu sistem pengendalian paling stabil pernah dibina oleh Microsoft, kerana Windows XP dibina berasaskan teknologi Windows 2000 yang terbukti sangat stabil. Windows XP juga adalah versi Windows pertama yang menggunakan teknologi pengaktifan perisian (dan seterusnya Windows Genuine Advantage) bagi mengekang kegiatan cetak rompak, walaupun mekanisme pengaktifan tersebut telah berjaya ditangani oleh lanun-lanun cetak rompak.




Sejarah pembangunan
Sejarah pembangunan Windows XP bermula sejak daripada proses pembangunan Windows 2000 yang asalnya dibina bagi menggantikan Windows NT 4.0 dan Windows 98, Walau baganmanapun, rancangan tersebut telah diubah apabila Microsoft melancarkan Windows 98 SE. Pada tahun 1999, Microsoft mula membangunkan Windows Neptune sebagai versi pengguna rumah bagi Windows 2000. Walau bagaimanapun, projek Neptune tersebut dibatalkan dan digantikan dengan Windows Me, iaitu sistem pengendalian keluarga Windows 9x yang terakhir. Projek Neptune tersebut kemudiannya digantikan dengan projek Whistler yang seterusnya membentuk Windows XP.

Windows XP dilancarkan pada 25 Oktober 2001, dan sejak daripada itu 2 pek servis telah dilancarkan. Pek servis ketiga (Windows XP SP3) masih dalam peringkat pembangunan.




Edisi Windows XP

Secara umumnya, Windows XP secara lazimnya terdiri daripada 2 versi utama, iaitu:-

* Windows XP Home Edition - versi yang disasarkan kepada pengguna rumah.
* Windows XP Professional - versi yang disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan pengguna komputer berkuasa tinggi. Windows XP Professional mengandungi ciri-ciri istimewa yang tidak terdapat pada versi Home Edition.

Selain itu, terdapat edisi khas Windows XP yang dibina untuk beberapa jenis komputer khusus, iaitu:-

* Windows XP 64-bit Edition