Malaysia juara keseluruhan Kejohanan Robotik Dunia
Cetak
Kiriman  journalistOleh: journalistKirimanpada  12-11-2015 09:11 12-11-2015 09:11 313  Baca 313 Baca 0 Komen 0 Komen

SEPANG 10 Nov. – Kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Robotik Dunia 2015 yang berlangsung di Doha, Qatar pada 6 hingga 8 November lalu selepas me­rangkul tiga pingat emas, dua pingat gangsa dan dua Anugerah Kecemerlangan. -

 

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna buat negara sekali gus mencatat sejarah dinobatkan sebanyak lima kali sebagai juara keseluruhan Kejohanan Robotik Dunia.

Beliau berkata, kejayaan tersebut juga mencerminkan komitmen kementerian dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kerjasama erat pihak swasta di negara ini untuk melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat global.

“Kejayaan adalah hasil sokongan dan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan juga ibu bapa. Pada penyertaan tahun lalu kita muncul naib juara keseluruhan dan pada tahun ini kita berjaya menebus kehampaan tersebut.

“Sebanyak 44 negara menyertai Kejohanan Robotik Dunia 2015 dan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan adalah amat membanggakan lebih-lebih lagi buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelajar yang menyertai kejohanan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Menurut Rozainum, pingat emas yang diraih Malaysia adalah dalam kategori Terbuka Sekolah Rendah melalui pasukan YC Adventure Kidz dianggotai oleh tiga murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya, Selangor iaitu Yong Saan Cern, 10; Lim Yi Hang, 10; dan Wong Jim Tim, 10.

“Pingat emas kedua diraih dalam kategori Terbuka Sekolah Menengah Rendah melalui pasukan Robotist yang dianggotai tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Subang Jaya iaitu Liew Chan Yue, 15; Ruhanesh Suthan, 15; dan C. Jaimishran, 15.

“Pingat emas ketiga pula diraih dalam kategori Gen II Football melalui pasukan Aramaitee dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah yang dianggotai oleh Zahin Arif Saiful Azian, 15; Mohamad Fawwaz Zakwan Mohd. Noor, 16; dan Muhamad Ridwan Shahidan, 16," katanya.

Dua pingat gangsa pula dirangkul melalui kategori Terbuka Sekolah Rendah dan kategori Terbuka Sekolah Menengah Atas manakala dua Anugerah Kecemerlangan pula dimenangi oleh pasukan SKBU2 Team A dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2, Johor Bahru, Johor dan pasukan Starbot dari SK Sri Tebrau, Johor Bahru.

Komen
Tiada komen dihantar.
Hantar Komen
Sila log masuk untuk hantar komen.
Ratings
Rating is available to Members only.

Please login or register to vote.

No Ratings have been Posted.