View Thread
 Print Thread
Amalan-amalan yang perlu diutamakan pada Ramadhan
Fattah
1. Berpuasa dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan ALLAH.

2. Jauhi sama sekali percubaan merosakkan puasa dengan berbuka tanpa keuzuran kerana amalan itu termasuk antara dosa besar yang dilaknati ALLAH.

3. Berusaha seberapa yang boleh untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah seperti solat Tarawih, tahajud terutama pada malam Lailatul Qadar.

4. Pastikan sumber makanan dan minuman kita sepanjang bulan ini jauh dari sumber-sumber haram atau yang meragukan supaya ibadah puasa dan doa kita diterima ALLAH.

5. Berusaha untuk berbuka puasa beramai-ramai kerana pahalanya sangat besar daripada berbuka bersendirian.

6. Sentiasa melakukan solat lima waktu berjemaah.

7. Banyakkan sedekah pada bulan ini kerana sedekah pada bulan ini lebih afdal berbanding bulan-bulan yang lain.

8. Awasilah diri anda daripada menghabiskan waktu tanpa faedah kerana bulan ini bulan ibadah.

9. Jika berupaya, kerjakan umrah dalam bulan ini kerana umrah pada bulan Ramadhan sama dengan sekali ibadah haji.

10. Laksanakan ibadah puasa dengan bersahur pada akhir malamnya kerana sahur adalah sunah Rasulullah.

11. Segerakan berbuka, sebaik-baik sahaja matahari terbenam.

12. Sempurnakan mandi wajib sebelum naik fajar, supaya anda meneruskan ibadah puasa ini dalam keadaan bersih dan suci daripada hadas besar.

13. Banyakkan zikir pada bulan ini terutama dengan membaca Al-Quran yang merupakan sebaik-baik zikir, supaya anda beroleh pertolongan dan syafaat Al-Quran pada hari akhirat.

14. Peliharalah lidah anda daripada berdusta, mengumpat, maki hamun dan sebagainya di sepanjang bulan ini, kerana amalan-amalan ini pada bulan Ramadhan lebih besar dosanya.

15. Segala gerak-geri dan tindakan anda pada bulan ini hendaklah tenang, tidak mudah beremosi dan tidak terkeluar daripada batas-batas kesederhanaan.

16. Pastikan diri anda dalam bulan Ramadhan ini tidak melakukan sesuatu yang dilarang oleh ALLAH dan mentaati segala suruhanNYA.

17. Banyakkan zikir dan istighfar dan memohon rahmat daripadaNYA terutama ketika berbuka dan bersahur.

18. Banyakkan doa untuk diri sendiri, ibubapa, anak-anak dan seluruh umat Islam supaya mereka dikurniakan kesejahteraan.

19. Bertaubat kepada ALLAH dengan taubat yang bersungguh-sungguh sepanjang masa, dengan meninggalkan maksiat, menyesali segala dosa-dosa yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.

20. Setelah selesai puasa Ramadhan, teruskan pula dengan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal kerana pahalanya seumpama berpuasa sepanjang tahun.

21. Teruskan dengan iman, takwa dan amal-amal yang soleh, sekalipun bulan Ramadhan sudah selesai hingga anda meninggal dunia.

22. Banyakkan ucapan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. terutama pada hari Jumaat.
Edited by Najib on 11. September 2007 08:13
 
Jump to Forum: