Hirarki Artikel
PPSMI Gagal Bentuk Kecemerlangan Pelajar Bandar, Desa
Kiriman  content_admin content_admin Kirimanpada  09-07-2009 10:43 09-07-2009 10:43 2440  Baca 2440 Baca  0 Komen 0 Komen
printer

Pengajaran Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris jejas prestasi murid sejak diperkenal pada 2003


MESYUARAT Kabinet di Putrajaya hari ini dijangka mengumumkan keputusan sama ada untuk mengekalkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) atau diubahsuai mengikuti keperluan sebenar pelajar dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Polemik mengenai isu itu sudah lama diperdebatkan hingga mengundang reaksi yang pelbagai � sama ada menyokong atau menentangnya, sejak dasar itu mula dilaksanakan pada sesi persekolahan 2003.

Rentetan pelbagai reaksi pro dan kontra mengenainya, beberapa badan tertentu turut mengadakan kaji selidik, seminar serta kolokium untuk memperjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di sekolah dan dalam bilik darjah.

Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang menjadi antara persatuan yang memperjuangkan isu itu, mempunyai butiran lengkap dan menyeluruh selepas menjalankan kajian terperinci untuk menilai pelaksanaan PPSMI dan implikasinya terhadap pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Hasilnya, Pembina menyarankan sudah tiba masanya P&P itu dikembalikan ke bahasa asal untuk mengelak pupusnya generasi yang bijak dan cemerlang.

Kajian Pembina yang dilakukan ke atas 1,942 murid Tahun Lima dan Kohort 2 (2004) dari 56 sekolah kebangsaan dan di seluruh negara menunjukkan pencapaian mereka semakin merosot dan ada yang dengan drastik merudum apabila mereka naik ke tahun pembelajaran yang lebih tinggi.

Secara keseluruhan, bagi sekolah rendah, peratusan pencapaian murid yang gagal adalah lebih tinggi iaitu antara 29.86 hingga 50.56 peratus berbanding bilangan mereka yang mencapai tahap cemerlang mencatat antara 10.12 hingga 31 peratus.

Bagi pelajar sekolah menengah aliran Sastera, trend sama juga dikenal pasti iaitu prestasi mereka yang gagal adalah tinggi (49.44 hingga 85.08 peratus) berbanding sekolah menengah aliran Sains dengan peratusan yang gagal (antara 24.59 hingga 69.96 peratus) adalah lebih tinggi daripada mereka yang mendapat cemerlang (antara 0.78 hingga 28.06 peratus).

Pengarah Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin, berkata guru sendiri tidak berupaya meningkatkan kemajuan dalam proses P&P dan kekok berbahasa Inggeris, gagal mewujudkan interaksi dengan murid, kurang yakin dalam penyampaian dan pedagogi, tidak cekap dan kurang mengendali serta menggunakan teknologi maklumat (IT).

Katanya, keseluruhan kajian P&P, sepanjang enam tahun pelaksanaan, menunjukkan hanya 3.2 peratus peningkatan dalam keupayaan menguasai bahasa Inggeris di kalangan murid menerusi PPSMI.

Jika ini diteruskan, keadaan lebih parah dengan jurang ketara dapat dilihat dari segi pencapaian mata pelajaran Matematik dan Sains di bandar dan luar bandar. Bagaimanapun, pelajar dilihat mampu mencapai keputusan cemerlang jika menjawab dalam bahasa yang mereka fahami.

"Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru juga dilihat amat kritikal kerana masalah utama gagal menyampaikannya secara berkesan. Malah, kajian mendapati, 39.3 peratus (74 guru) sekolah rendah dan 25.3 peratus (93 guru) sekolah menengah gagal dalam penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris.

"Walaupun gagal mereka terus mengajar dan masih menerima elaun bayaran insentif subjek pendidikan. Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion bagi pelaksanaan PPSMI, tetapi dilihat gagal mencapai matlamatnya," katanya.

Abdul Raof berpendapat PPSMI dilaksanakan secara terburu-buru dan tiada kajian terperinci dibuat, sebaliknya hanya tiga bulan road show di seluruh negara mengenai objektif pelaksanaannya.

Katanya, pelaksanaan PPSMI juga dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 (1) yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Justeru, Pembina mencadangkan supaya PPSMI dikembalikan P&P Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu mulai peringkat sekolah rendah hingga universiti mengikut dasar sebelum ini.

Pada masa sama, kerajaan perlu memperkasakan pencapaian bahasa Inggeris pelajar melalui P&P menerusi bahasa itu sendiri dengan menggubal, meminda atau menambah baik kurikulum, kaedah pedagogi dan teknik, menambah waktu belajar dan peningkatan kecekapan guru dalam bahasa Inggeris.

"Berdasarkan kajian dan justifikasi tahap kompetensi guru serta impaknya terhadap pembinaan modal insan murid gagal dicapai khususnya di Felda, pulau, pedalaman dan sekolah Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Profesor Fizik yang juga Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata negara sudah melakukan banyak kesilapan dan seharusnya kembali memperkukuh dan meningkatkan nilai kedudukannya di tempat yang wajar kerana bahasa Inggeris tidak mampu mengambil alih bahasa Melayu.

Namun, beliau tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa global, sebaliknya, bahasa itu tidak boleh mengambil tempat atau mengambil alih sebagai bahasa lingua franca dan mewujudkan jati diri anak bangsa.

"Bahasa Inggeris tidak boleh menterjemah tiga kategori istilah iaitu pertama perkataan objek, nama orang atau sesuatu tempat. Contohnya durian atau Kuala Lumpur tetap disebut atau dieja sama dan tidak boleh ditukar dalam bahasa Inggeris.

"Kedua, istilah fenomena, fotosentisis atau memontem yang banyak digunakan dalam mata pelajaran Sains tetap kekalkan istilah itu dan tidak boleh ditukar. Malah, bagi sesuatu perkataan yang memang tidak boleh ditukar, maka tidak salah kalau terus kekalkan bahasa itu supaya ia tidak lari daripada maksud.

"Ketiga, bahasa Melayu itu amat adil dan samarataan. Bahasa Melayu terlalu banyak istilah ketuhanan di dalamnya dan sekiranya ia tidak digunakan, akan menyebabkan meruntuhkan sifat jati diri seseorang," katanya.

Sejak awal, katanya, prinsip berkaitannya sudah salah dan tidak perlu subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris pada peringkat sekolah rendah kerana banyak istilah dalam kedua-dua subjek itu adalah fakta dan ia berhubung ilmu mengenai tabiat alam dan semula jadi.

Katanya, polemik yang dibincangkan mengenainya perlu dilakukan sehingga ke dasarnya supaya bahasa Melayu tidak terus hilang dalam kekaguman terhadap bahasa Inggeris.

"Jika kita ingin menjadi sebuah negara maju, kita perlu memahami sesuatu dengan bahasa yang kita fahami. Matlamat kita adalah ingin menghasilkan seramai mungkin anak bangsa yang berfikiran kritikal dan secara saintifik.

"Kita buat sistem untuk membangunkan negara kita dan bukan negara luar. Kita beri pendidikan untuk menghasilkan pekerja yang mampu mentadbir dan mengurus Malaysia. Orang Jepun tidak mahir bahasa Inggeris, tetapi mampu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan mereka sendiri," katanya.

Komen
Tiada komen dihantar.
Hantar Komen
Sila log masuk untuk hantar komen.
Ratings
Rating is available to Members only.

Please login or register to vote.

No Ratings have been Posted.