Hirarki Artikel
KASIHNYA ALLAH PADA WANITA
Kiriman  wantp wantp Kirimanpada  21-12-2007 22:30 21-12-2007 22:30 847  Baca 847 Baca  1 Komen 1 Komen
printer
"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya".
"Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah
digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam
Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme
atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik
sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun
kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh
dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka
pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang
Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu
kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong
dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita
Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami,
larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup
takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap
sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau
larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada
kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak
wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan
ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia
sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini,
atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam.
Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan
larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju,
tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada
isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan
berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak
peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih
memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih
luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala
suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain
dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan
masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi,
atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu
persatu pengiktirafan yang diberikan oleh Tuhan kepada wanita, sama
ada setara langsung atau pun tidak.

i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan
suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-
bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri
menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa
Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband' manakala perkataan
untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam bahasa Perancis pula,
perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan `femme' untuk
isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan
yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang
digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'.
Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga
pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan
berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam
Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita
mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju,
tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di
antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang
stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan
lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang
suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama
beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh.
Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran,
mereka disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap
pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan
betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak rasa mulia
dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah
telapak kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi" seorang ibu?
Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam
Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia,
menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan
meng'hamba'kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat
itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu
di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan
sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.

b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik
kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara
kamu kepada isi rumahku."

c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang
mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang
yang hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)

d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan.
Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana
mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya
kebaikan yang banyak."

e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang
lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang ia
suka."(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam.
Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang
yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh
kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan
sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan
ikhlas.

iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu
mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang
bermaksud `Maha Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan
nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah
tentu Tuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan
nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini
kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian
tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk.
Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan
kepada apa yang Tuhan ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi
penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan
kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada
wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita
di sisi Tuhan.

iv) Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud
yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma
kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di
waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid
dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya
mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah
digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir,
diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas.
Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya
pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya.

Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada
golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah
wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran-
ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah
mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak
yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan
tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

Wallahu a'lam
Komen
617 #1 solha pada 14 January 2008
proud to be a woman@lady@girl@wanita@sister
Hantar Komen
Sila log masuk untuk hantar komen.
Ratings
Rating is available to Members only.

Please login or register to vote.

No Ratings have been Posted.